KULAI: Surau Nurul Haq Kampung Sungai Sayong 1 hari ini menerima sumbangan RM15,000 daripada Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, susulan insiden van jenazah milik surau itu yang dicuri dan remuk teruk akibat kemalangan pada Khamis lepas.
Pengerusi surau Mohd Anuar Repan berkata sumbangan bermakna itu sedikit sebanyak dapat membantu usaha mereka untuk mendapatkan kenderaan baharu memandangkan ia satu-satunya van jenazah yang dimiliki surau berkenaan.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan ini yang dapat kami gunakan untuk membeli van jenazah baharu untuk kegunaan masyarakat di sini,” katanya selepas majlis penyerahan cek cura di Surau Nurul Haq Kampung Sungai Sayong 1, di sini hari ini.
Van berkenaan diperoleh daripada sebuah jabatan pada Disember tahun lepas, melalui proses pelupusan harta dan belum sempat digunakan untuk pengendalian jenazah.
Sementara itu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata sebuah syarikat QR Oyes Sdn Bhd dari daerah tersebut turut menghulurkan bantuan sebanyak RM5,000 kepada pengurusan surau.
“Saya terbaca laporan berita, surau ini difahamkan amat memerlukan sebuah van jenazah (baharu) selepas ia dicuri dan terlibat dalam kemalangan.
“Justeru, saya telah meluluskan peruntukan dan pada masa sama sebuah syarikat tampil beri bantuan. Saya harap dengan jumlah keseluruhan bantuan RM20,000 ini dapat membantu mereka,” katanya.
Pada Khamis lepas, Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee dilaporkan berkata van jenazah jenis Toyota Hiace itu dipercayai dicuri di surau berkenaan oleh suspek berusia 21 tahun antara 1 hingga 2 pagi.
Bagaimanapun, beliau berkata lelaki terbabit kemudian terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori ketika melarikan van itu kira-kira 2.30 pagi di Jalan Skudai, di sini.
Suspek hanya mengalami kecederaan ringan pada muka dan kaki- BERNAMA