BALING: Kerajaan Kedah merakamkan penghargaan atas usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan dalam membantu pembangunan di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau turut berharap agar kerjasama antara kerajaan negeri dan Pusat dipertingkatkan pada masa akan datang.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan dalam usaha-usaha berterusan membantu pembangunan negeri Kedah.
“Inisiatif pembangunan mampan di bawah kerjasama erat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah formula terbaik bagi memastikan Kedah dapat turut menyumbang dengan lebih baik dalam pembangunan negara,“ katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muhammad Sanusi berkata Kedah dalam usaha menarik kedatangan pelancong sejajar dengan penganjuran Tahun Melawat Kedah 2025.
Penganjuran program PMR 2025 Kedah yang diadakan di Baling dilihat antara pemangkin utama untuk menarik kedatangan pelancong tempatan ke daerah itu.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang memilih daerah Baling, Kedah, untuk penganjuran Program MADANI Rakyat pada tahun ini.
Program yang berlangsung sejak beberapa hari lalu ini cukup meriah dan memberi impak yang positif dalam usaha mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan rakyat.
Muhammad Sanusi turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang membantu dalam pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur serta produk pelancongan di Kedah.
Bantuan tersebut termasuk Projek Meroboh, Membina Dan Menaik Taraf Terminal dan Jeti Penumpang, Kargo dan RORO di Jeti Kuala Kedah.
Ia juga meliputi Projek Sempadan Utara Semenanjung khususnya peningkatan kemudahan pelancongan Mong Gajah Tasik Pedu, Padang Terap.
Kerja-Kerja Naik Taraf Tapak Arkeologi Sungai Batu Kepada Kompleks Arkeo-Pelancongan Tamadun Sungai Batu, Kuala Muda turut disertakan.
Menaik taraf Galeri Perdana, Langkawi juga antara inisiatif pembangunan yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Persekutuan.
Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri komited untuk menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Negeri Kedah bersedia menerima lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara pada masa akan datang. – Bernama