KESUMA rangka pindaan Akta 4 beri perlindungan 24 jam kepada pekerja

KEPALA BATAS: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang merangka pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) bagi memberi perlindungan keselamatan menyeluruh di luar waktu kerja kepada pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata sekiranya tiada sebarang masalah, pindaan itu dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

“Saya bersyukur ia sudah diluluskan oleh Kabinet selepas diperjuangkan beberapa tahun dan kita sedang merangka atau mengarang rang undang-undang pindaan itu.

“Contoh bila (pekerja) selepas habis kerja, bawa isteri dan anak makan malam, kalau apa-apa berlaku, dia tidak dilindungi. Jadi, selepas pindaan nanti, dia diberikan perlindungan 24 jam termasuk di luar waktu kerja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Bertam di sini hari ini.

Beliau berkata pindaan terhadap akta berkenaan bertujuan memberikan perlindungan menyeluruh memandangkan terdapat satu kelompongan apabila hanya 40 peratus rakyat Malaysia dilindungi insurans swasta.

Sim berkata perlindungan itu juga akan membolehkan pekerja mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan, rehabilitasi dan sebagainya sekiranya berlaku perkara tidak diingini bagi memastikan kelangsungan hidup sekali gus memastikan tenaga kerja di negara ini berdaya saing.

Sementara itu, beliau memaklumkan KESUMA telah memulakan proses menyemak semula 28 undang-undang perburuhan di bawah kementerian itu bagi memastikan undang-undang negara mampu memberikan perlindungan terbaik yang sesuai dengan peredaran zaman kepada pekerja.

Beliau berkata ia termasuk beberapa undang-undang utama seperti Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak.

Pada masa sama, Sim berkata golongan berpendapatan rendah kini boleh mendapatkan khidmat guaman percuma di Mahkamah Perusahaan hasil kerjasama antara KESUMA dengan Majlis Peguam, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS)- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *