IPOH: Empat Taman Rekreasi MADANI (TRM) telah dirasmikan hari ini dalam usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempergiat langkah mensejahterakan rakyat menerusi agenda pembangunan 1000 TRM menjelang tahun 2035 di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyatakan empat daripada keseluruhan 12 TRM yang dibangunkan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh telah siap sepenuhnya pada Julai lepas seperti disasarkan.
Taman-taman tersebut ialah TRM Taman Pusing Baru, TRM Taman Kledang, TRM Taman Pengkalan Barat dan TRM Taman Westpool.
KPKT telah memperuntukkan 5.4 juta ringgit untuk membina 12 buah TRM dalam kawasan Ipoh sahaja dengan lapan lagi taman sudah siap tetapi belum sempat dirasmikan.
Nga menjelaskan bahawa TRM bukan sahaja menjadi tempat beriadah dan berehat tetapi telah berfungsi sebagai bentuk fisioterapi untuk menjaga kesihatan mental penduduk.
KPKT berjaya melepasi sasaran dengan menyempurnakan 109 TRM pada tahun lepas manakala 100 lagi TRM bakal disempurnakan tahun ini.
Sebanyak 216 TRM dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini untuk kegunaan penduduk sebagai taman kejiranan.
Nga juga telah merasmikan Pintu Gerbang Kampung Kepayang pagi tadi iaitu kampung Melayu pertama dalam kawasan Ipoh sejak tahun 1915.
Kerajaan MADANI akan sentiasa memastikan pembinaan TRM ini menjadi mercu tanda ikonik dan kegemaran penduduk setempat.
Nga tidak menafikan bahawa pihaknya menerima aduan berkaitan kerosakan akibat sikap pengguna di TRM justeru menyeru semua pihak memastikan kemudahan dijaga sebaik mungkin.
Beliau menaruh harapan tinggi menuju ke arah vandalisme sifar supaya tiada satu kes kerosakan pun berlaku di taman-taman rekreasi tersebut. – Bernama