SIBU: Penyertaan masyarakat bukan Islam yang semakin meningkat setiap tahun dalam majlis perhimpunan dan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sibu menggambarkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang agama di bandar ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Innovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee menyifatkan perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang amat menggembirakan dan boleh diperkukuh lagi pada sambutan akan datang.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada masyarakat bukan Islam yang turut serta dalam perayaan tersebut dan memerhatikan peningkatan penyertaan mereka dalam perarakan Maulidur Rasul.
“Perkara ini amat menggembirakan khususnya dari segi perpaduan dalam kalangan berbilangan agama di bandar ini,“ katanya kepada media selepas menghadiri majlis sambutan di Dataran Tun Tuanku Bujang.
Lebih 7,000 peserta mewakili 67 kontingen daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah, swasta, surau, masjid dan badan bukan kerajaan menyertai sambutan yang melibatkan perarakan sejauh 3.2 kilometer mengelilingi pusat bandar.
NGO bukan Islam yang dijemput menyertai perhimpunan dan perarakan terdiri daripada Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina, Teo Chew Association Sibu, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Iban Daerah Sibu dan Gabungan Persatuan Cina Bahagian Sibu.
Dr Annuar yang juga ADUN Nangka berharap jumlah kontinjen yang menyertai sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sibu pada tahun depan dapat ditambah, khususnya dalam kalangan NGO bukan Islam.
Mantan Ahli Dewan Negara mewakili DUN Sarawak bagi penggal 1990-1993 dan 1993–1996 Temenggong Datuk Seri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohammad, 78, dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sibu 2025.
SK Agama Majlis Islam Sarawak Sibu diisytiharkan sebagai johan keseluruhan kontinjen terbaik, dengan Kumpulan Sanyan menjadi naib johan dan SK Abang Ali di tempat ketiga. – Bernama