KUCHING: Semua pihak digesa mengambil iktibar daripada demonstrasi yang berlaku di Indonesia baru-baru ini menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata insiden itu menunjukkan betapa pentingnya kestabilan dalam memastikan keharmonian negara sentiasa terpelihara.
Fadillah menegaskan bahawa pelbagai cerita telah dimainkan oleh pihak tertentu sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia.
“Bila rakyat marah mereka protes dan demonstrasi sehingga protes yang aman menjadi tidak aman,“ katanya semasa berucap di program Kembara Segulai Sejalai Belia Sarawak 2025.
Beliau menekankan kestabilan dan keamanan penting untuk mengurus negara dengan baik.
“Bila ekonomi kita baik pelabur akan datang dan buka peluang pekerjaan sehingga rakyat perlu bersatu hati,“ tambahnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Malaysia dan negara anggota ASEAN berharap agar demonstrasi di Indonesia akan tamat segera.
Anwar berkata Presiden Indonesia Prabowo Subianto memaklumkan bahawa situasi di republik itu kini bertambah baik semasa pertemuan di Beijing.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memaklumkan sedang memantau rapi perkembangan terkini susulan demonstrasi di Senayan, Jakarta Pusat pada 29 Ogos lepas. – Bernama