Polis keluarkan 24 saman, sita 13 motosikal dalam Ops Samseng Jalanan

ISKANDAR PUTERI: Polis mengeluarkan 24 saman trafik atas pelbagai kesalahan jalan raya dan menyita 13 motosikal dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar Lebuhraya Nusajaya, Lebuhraya Link Kedua arah ke Tuas, dan kawasan Kangkar Pulai.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan menyatakan sebanyak 20 motosikal ditahan manakala semua saman dikeluarkan kepada penunggang dan pembonceng berusia antara 15 hingga 28 tahun.

Beliau berkata pihaknya turut menahan tiga individu berumur 18 hingga 20 tahun bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kenderaan mereka turut disita di bawah Seksyen 64 akta sama untuk tujuan siasatan lanjut.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk ubah suai struktur kenderaan khususnya ekzos, penggunaan nombor pendaftaran fancy, tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, dan tiada perlindungan insurans.

Kumarasan memberikan amaran keras dan tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba melakukan aktiviti samseng jalanan di kawasan Iskandar Puteri.

Aktiviti samseng jalanan jelas mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain yang mematuhi undang-undang.

Operasi ini akan dilakukan secara berterusan bagi mencegah kegiatan lumba haram serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam daerah Iskandar Puteri terjamin. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *