PMR Kedah tawar ujian kesihatan mental, mamogram dan HPV DNA percuma

BALING: Reruai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjadi tumpuan pengunjung pada hari terakhir Program MADANI Rakyat (PMR) Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling.

Orang ramai mengambil peluang menjalani Ujian Saringan Minda Sihat (DASS) bersama ujian mamogram dan saringan kanser serviks (HPV DNA) yang disediakan secara percuma.

Pengunjung Wan Anas Fitri Mohd Nordin berkata beliau mengambil kesempatan menjalani DASS untuk menilai tahap kesihatan mentalnya.

“Ujian seperti ini sepatutnya dilakukan awal supaya bantuan dapat dicari lebih awal dan perkara tidak diingini dapat dielakkan.”

“Tekanan mental umpama bom jangka; jika dipendam terlalu lama, ia boleh meletup dan pada masa itu sudah terlambat,” katanya.

Beliau hadir ke program itu bersama ahli keluarga dan turut meninjau pelbagai reruai untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan agensi kerajaan.

Pengunjung Norsahila Yaakob berkata ujian DASS amat bermanfaat kerana banyak kejadian penderaan, buli dan jenayah lain berkait rapat dengan tekanan mental.

“Setiap individu perlu mengetahui tahap tekanan mental masing-masing supaya ia mudah diurus.”

“Dengan mengetahui keadaan diri, kita boleh mengambil langkah menstabilkannya, termasuk mendapatkan bantuan pakar,” katanya.

Beliau turut tertarik menjalani pemeriksaan mamogram dan HPV DNA percuma yang disediakan di reruai tersebut.

“Di kawasan pedalaman seperti Baling, tidak banyak maklumat sampai terus kepada masyarakat.”

“Hari ini, kaum wanita khususnya dapat menikmati khidmat ini secara percuma,” tambahnya.

Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KPWKM Mohd Hanapi Mohammad Hanipah berkata pelbagai perkhidmatan pemeriksaan kesihatan disediakan secara percuma pada PMR kali ini.

“Mungkin ramai mengambil mudah tahap kesihatan mereka, sama ada berkaitan tekanan mental atau kanser yang sering menjejaskan wanita.”

“Hari ini, orang ramai berpeluang berjumpa terus dengan kami dan mendapatkan khidmat yang disediakan,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *