LAHAD DATU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meminta semua syarikat telekomunikasi meningkatkan kapasiti rangkaian terutama di kawasan berisiko banjir bagi menghadapi Monsun Timur Laut.
MCMC memaklumkan langkah itu penting bagi memastikan perkhidmatan komunikasi kekal stabil sepanjang musim banjir.
Syarikat telekomunikasi juga perlu menyediakan bekalan kuasa sokongan termasuk penjana elektrik dan sistem hibrid suria seperti di Kampung Sapagaya yang berisiko banjir ketika Monsun Timur Laut.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meninjau pengoperasian menara telekomunikasi di Kampung Sapagaya bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali.
Fahmi meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau dan mendengar taklimat serta melihat sendiri mekanisme pengoperasian menara berkenaan yang memberikan kemudahan komunikasi terbaik kepada penduduk setempat.
Tinjauan diadakan bagi menguji kualiti liputan komunikasi di kampung berkenaan serta menilai prestasi dan tahap kesiapsiagaan penyedia perkhidmatan komunikasi dalam menghadapi Monsun Timur Laut.
Lima syarikat telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL beroperasi menggunakan menara telekomunikasi Kampung Sapagaya yang siap dibina pada 2000.
Ujian kualiti liputan komunikasi lima syarikat telekomunikasi melalui aplikasi MCMC Nexus menunjukkan menara komunikasi terbabit mampu menyediakan capaian kelajuan hingga 300Mbps bagi rangkaian 5G dan 80Mbps bagi 4G.
Menara telekomunikasi tersebut memanfaatkan 3,800 penduduk sekitar dengan perkhidmatan komunikasi yang berkualiti.
Liputan Internet di kawasan berpenduduk di Sabah mencapai 95.3% setakat 31 Julai tahun ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding 73.4% sebelum pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA). – Bernama