SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan sedang menjalankan semakan untuk menentukan status agama dua kanak-kanak yang lemas selepas kenderaan mereka menggelongsor ke Sungai Linggi.
Pengarah JHEAINS Mohd Asri Abdullah menyatakan pihaknya akan menguruskan jenazah kedua-dua kanak-kanak tersebut setelah pengesahan status agama Islam mereka selesai.
Beliau berkata pihaknya menerima permohonan daripada polis untuk semakan status agama kanak-kanak itu tetapi tiada rekod pengislaman ditemui di Kelantan seperti didakwa bapa mereka.
“Semakan di jabatan agama di Kelantan dan negeri ini tidak menemui sebarang rekod berkaitan pengislaman dua kanak-kanak tersebut.”
“Kami bergantung kepada pengakuan ibu bapa kandung mengenai status agama kanak-kanak ini dan mereka perlu membuat laporan polis sebagai kebenaran untuk urus jenazah.”
Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad menerima maklumat mengenai kereta Nissan terjatuh ke sungai Tanjung Agas dengan dua kanak-kanak di dalamnya.
Kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur enam dan lapan tahun dari Shah Alam dipercayai lemas kerana terperangkap dalam kenderaan.
Seorang lelaki berusia 46 tahun dipercayai bapa kanak-kanak dan teman wanitanya 41 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kematian kedua-dua mangsa.
Tiada ahli keluarga atau waris hadir di Unit Forensik Hospital Port Dickson semasa proses bedah siasat dijalankan. – Bernama