TUARAN: Siasatan awal polis mendapati kenderaan pelbagai guna yang terbabit dalam kemalangan maut lima penuntut Institut Kemahiran MARA di Jalan Gayang semalam dipandu laju sebelum hilang kawalan.
Kenderaan tersebut kemudian merempuh sebuah lori yang membawa muatan batu di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tuaran Supt Noraidin Ag Maidin menyatakan kenderaan mangsa sedang menuju dari Kota Kinabalu ke Kota Belud ketika kejadian berlaku.
“MPV dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh lori dari arah Tuaran menuju ke Kota Kinabalu,“ katanya.
Semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan berjaya dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Tuaran.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuaran untuk prosedur bedah siasat.
Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis telah merakam percakapan beberapa individu untuk membantu proses siasatan berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tuaran Insp. Haffiz di talian yang disediakan.
Dalam kejadian pada 2.09 petang semalam, lima penuntut lelaki berusia lingkungan 20-an maut di tempat kejadian. – Bernama