Imigresen Johor tahan 96 pendatang tanpa izin dalam operasi

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor telah menahan 96 pendatang tanpa izin dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Iskandar Puteri dan Kulai pada 3 September.

Pengarahnya Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus menyatakan operasi itu melibatkan pegawai dari Unit Tindakan Bahagian Penguatkuasaan dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia Bangunan Sultan Iskandar.

Beliau berkata berdasarkan risikan dan pemantauan, pihak imigresen mendapati mereka yang ditahan bekerja dan tinggal di Malaysia tanpa memiliki permit atau pas yang sah.

Sebanyak 199 warga tempatan dan warga asing telah diperiksa dalam operasi terhadap 43 premis berasingan dengan 96 ditahan terdiri daripada dua lelaki warga tempatan, 38 warga Bangladesh, 15 Indonesia, 12 Myanmar dan enam Pakistan.

Turut ditahan empat warga India, dua Vietnam, satu Nepal, satu Thailand, 10 wanita Myanmar dan lima wanita Indonesia dengan kesemua berusia antara 18 hingga 61 tahun.

Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(6) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Seorang warga asing dipercayai berperanan sebagai pengurus premis ditahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 manakala dua warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi warga asing.

Mohd Rusdi berkata kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *