TAWAU: Polis menahan seorang wanita berusia 23 tahun yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah semasa berucap dalam Himpunan Solidariti Justice for Zara.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata wanita itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari di kawasan Batu 4, Jalan Apas.
“Polis sedang merakam percakapannya dan siasatan lanjut diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menimbulkan kegusaran masyarakat melalui ucapan di tempat awam.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti pihak tertentu,” katanya.
Polis telah menerima tiga laporan berhubung insiden tersebut dan sedang menyiasat kes itu di bawah beberapa akta berkaitan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 bersama Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Bernama