Lelaki didakwa bakar pasar raya cuba curi barangan di Kuching

KUCHING: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membakar dua pasar raya berbeza dalam cubaan mencuri barangan.

Tertuduh melakukan perbuatan itu pada pukul 3 petang, 17 Ogos lepas di sebuah pasar raya di Jalan Rock.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah pasar raya di Batu Kawa di sini pada pukul 8 malam, 21 Ogos lepas, menyebabkan kerugian RM1,072.60.

Pendakwaan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi setiap pertuduhan yang boleh dipenjara hingga 14 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian dan Umi Syukriah Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut fakta kes, modus operandi tertuduh adalah dengan membakar tisu dan lampin pakai buang di premis berkenaan bagi mengalih perhatian pekerja dalam cubaan untuk mencuri barangan lain.

Di sebuah premis, dia berjaya melarikan sekotak minuman berkarbonat dan perbuatan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang membawa kepada penahanannya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *