13 projek solar LSS PETRA 5+ diluluskan dengan kapasiti 1,975MWac

PUTRAJAYA: Sebanyak 13 projek loji jana kuasa solar berskala besar dengan kapasiti keseluruhan 1,975 megawatt arus ulang alik diluluskan di bawah Program Solar Skala Besar – Peralihan Tenaga SuRiA Pusingan Kelima Tambahan.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan jumlah kapasiti yang diluluskan itu merupakan yang terbesar sejak program LSS diperkenalkan pada 2016.

Kelulusan tersebut menjadikan keseluruhan kapasiti diluluskan setakat ini sebanyak 4,263 megawatt arus ulang alik.

Proses bidaan terbuka untuk kuota 2,000 megawatt arus ulang alik yang dibuka Suruhanjaya Tenaga pada 20 Januari lepas menerima 37 permohonan.

Kapasiti ditawarkan dalam bidaan tersebut mencecah 4,073 megawatt arus ulang alik, iaitu dua kali ganda lebih tinggi daripada jumlah kuota asal.

Daripada jumlah itu, 13 pembida yang mematuhi semua syarat permohonan untuk cadangan telah dipilih bagi melaksanakan projek berkenaan.

Pelaksanaan Program LSS secara bidaan terbuka berjaya melahirkan ramai pemaju solar tempatan yang berkeupayaan membangunkan loji jana kuasa solar pada kadar tarif yang kompetitif.

Kelulusan kapasiti pembangunan solar di bawah LSS PETRA 5+ dijangka menjana pelaburan sebanyak 6 bilion ringgit.

Projek tersebut juga dijangka mewujudkan 12,000 peluang pekerjaan dalam industri tenaga boleh baharu.

Projek penjanaan solar berskala besar yang bakal dibangunkan ini akan mula menjana dan membekalkan elektrik mulai 2027 dan 2028.

Ini termasuk antara projek solar terapung terbesar di negara ini dengan jumlah kapasiti 200 megawatt arus ulang alik.

LSS PETRA 5+ ditawarkan menerusi dua pakej iaitu loji jana kuasa solar di darat berkapasiti 30 hingga 500 megawatt arus ulang alik dengan kuota keseluruhan 1,500 megawatt arus ulang alik.

Pakej kedua melibatkan loji jana kuasa solar di badan air berkapasiti 10 hingga 500 megawatt arus ulang alik dengan kuota 500 megawatt arus ulang alik.

Pelaksanaan inisiatif itu diyakini akan menyumbang secara signifikan kepada aspirasi peralihan tenaga negara untuk meningkatkan campuran kapasiti tenaga boleh baharu dalam sistem pembekalan elektrik negara kepada 70% menjelang 2050.

Ia juga menyokong komitmen kementerian untuk mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik negara, selaras dengan prinsip kemampanan Malaysia MADANI. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *