Jelajah beca Merdeka 2025 catat sejarah 2,500 km seluruh Semenanjung

MELAKA: Kejayaan Jelajah Kayuhan Beca Merdeka 2025 oleh Persatuan Beca Persona Melaka layak diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong menyatakan usaha lima pengayuh berusia 22 hingga 66 tahun itu perlu direkodkan secara rasmi sebagai momen sejarah.

“Kami akan berbincang dengan pihak MBR untuk melihat sama ada kejayaan kayuhan beca Melaka sejauh 2,500 kilometer boleh direkodkan sebagai sebahagian daripada sejarah negara.”

Beliau berkata projek ini menjadi platform menyemarakkan semangat patriotisme dan mempromosikan Melaka sebagai negeri pelancongan.

Kayuhan selama 62 hari itu bermula dari Menara Taming Sari dan berakhir di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir.

“Sambutan meriah yang diterima di setiap hentian membuktikan rakyat teruja melihat beca Melaka.”

Khoo menambah rakyat perlu diberi ruang mengekspresikan rasa cinta kepada negara sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Kami sebagai pemimpin hanya perlu menyokong dan memberi bantuan sekiranya diperlukan.”

Beliau menggalakkan rakyat sendiri menganjurkan program untuk menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan.

Pengerusi Persatuan Beca Persona Melaka Rosli Md Zin berkata susulan kejayaan projek itu, beliau sedang merangka satu lagi projek besar.

“Kami sudah ada rancangan yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun dan melibatkan ahli pasukan yang sama.”

Beliau mengharapkan sokongan pelbagai pihak terutama kerajaan negeri dan kepimpinan kawasan untuk projek akan datang. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *