Bayer Leverkusen tamatkan kontrak jurulatih Erik ten Hag selepas dua bulan

LEVERKUSEN: Bayer Leverkusen telah menamatkan kontrak Jurulatih Erik ten Hag selepas hanya dua bulan memegang jawatan itu.

Kelab Bundesliga itu mengumumkan pemecatan tersebut berkuat kuasa serta-merta melalui platform X.

“Bayer 04 Leverkusen telah menamatkan kontrak dengan Ketua Jurulatih Erik ten Hag berkuat kuasa serta-merta,” kata kelab itu.

“Sesi latihan akan dikendalikan buat sementara waktu oleh staf jurulatih pembantu.”

Jurulatih dari Belanda itu terpaksa berundur selepas Leverkusen hanya memperoleh satu mata daripada dua perlawanan liga pertama musim ini.

Pasukan itu tewas 1-2 di laman sendiri kepada Hoffenheim dan seri 3-3 dengan Werder Bremen.

Keputusan seri itu berlaku meskipun Leverkusen mendahului dua gol menentang pasukan Bremen yang beraksi dengan 10 pemain.

Ten Hag dilaporkan turut kehilangan keyakinan dalam aspek lain.

Pihak pengurusan kelab tidak memberikan sokongan kepadanya sebelum dan selepas perlawanan di Bremen pada Sabtu.

Perlawanan seterusnya pasukan itu adalah menentang Eintracht Frankfurt pada 12 September.

Bekas jurulatih Ajax dan Manchester United berusia 55 tahun itu menggantikan Xabi Alonso, yang berpindah ke Real Madrid, pada musim ini. – Bernama-dpa

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *