TIANJIN: Malaysia sedang meneroka pasaran baharu bagi industri semikonduktor sebagai sebahagian usaha pempelbagaian untuk menembusi pasaran baharu dan bukan tradisional.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan China telah mencapai kemajuan luar biasa dalam bidang itu dan Malaysia berhasrat untuk belajar serta meneroka potensi kerjasama dengan rakan setaranya di China.
“Malaysia bertuah kerana menjadi hab semikonduktor di Asia Tenggara dengan lebih 60 peratus produk elektrik dan elektronik serta semikonduktor kami dieksport ke Amerika Syarikat.”
“Jadi keputusannya adalah meneruskan usaha itu namun pada masa sama akan mencari pasaran baharu dan kami sedang bekerjasama dengan syarikat China dan Jepun,“ katanya semasa sesi soal jawab di Universiti Tianjin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menekankan kepentingan memupuk bakat baharu dalam bidang itu termasuk teknologi terkini yang menggunakan kecerdasan buatan.
Beliau menyatakan terdapat peluang besar memandangkan China telah membuka pintunya untuk kerjasama antarabangsa.
Anwar menekankan komponen latihan juga sama penting di samping jalinan kerjasama dalam industri semikonduktor.
“Malah esok saya akan bertemu dengan semua peserta industri semikonduktor yang berpangkalan di China untuk berbincang dan merangka formula.”
“Kita perlu teroka peluang ini dan berusaha bersama-sama,“ kata beliau semasa lawatan kerja empat hari di China yang merupakan lawatan keempat beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada November 2022. – Bernama