KUALA LUMPUR: Lebih 100 pelukis termasuk artis kurang upaya mempamerkan karya masing-masing di Pameran Seni Merdeka 2025 yang sedang berlangsung di Pusat Perubatan Prince Court di sini.
Mengangkat tema “Freedom to Heal: Merdeka Through Wellness”, pameran anjuran Art Market Malaysia dengan kerjasama hospital swasta berkenaan menampilkan lebih 100 karya berasaskan kemerdekaan, Malaysia dan pelancongan, selain turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, bacaan puisi dan pertandingan seni lukis.
Pengasas Art Market Malaysia Rita Hatta berkata pameran itu berperanan sebagai platform yang menghimpunkan seni, kesihatan dan kesejahteraan sebagai wadah penyembuhan.
“Sebuah hospital merupakan ruang penting namun seni juga boleh menyembuhkan. Pesakit bukan sahaja menerima rawatan dan ubat-ubatan, tetapi juga terapi melalui karya seni. Hospital swasta turut berpotensi menjadi pembeli karya seni tempatan,” katanya kepada Bernama.
Pameran yang akan berakhir pada 12 Sept depan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy semalam.
Rita yang menubuhkan Art Market Malaysia pada 2014 selepas mengalami strok, berkata 30 peratus daripada hasil jualan setiap karya akan disalurkan kepada Disabled Persons Rehabilitation Centre, sebuah badan bukan kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Prince Court Dr Shuba Srinivasan berkata pameran itu mencerminkan komitmen hospital terhadap kepelbagaian budaya dan keterangkuman, selari dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelancongan perubatan.
Beliau berkata rawatan bukan hanya tentang ubat-ubatan kerana seni juga memainkan peranan besar dalam proses penyembuhan.
“Seni juga satu bentuk terapi yang menyembuhkan minda dan menguatkan emosi. Kita sembuh dengan lebih baik apabila dikelilingi oleh persekitaran yang menyokong serta apabila semua deria kita terpelihara dengan baik,” katanya.
Bagi pelukis Ramly Ribut, 64, pameran itu semakin menguatkan semangatnya untuk terus berkarya walaupun berdepan cabaran kesihatan selepas kehilangan kaki kanannya akibat diabetes pada 2023.
“Saya suka lukisan yang menonjolkan perpaduan. Penduduk kita terdiri daripada pelbagai kaum, tetapi Malaysia tetap teguh dengan semangat kebersamaan. Itulah mesej utama yang saya sampaikan dalam karya saya di pameran ini,” kata Ramly yang pernah bekerja dalam bidang reka bentuk grafik sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada lukisan.
Beliau yang menghasilkan tiga lukisan untuk pameran itu termasuk sebuah karya abstrak, berkata kebanyakan karyanya menumpukan pada warisan yang kian menghilang seperti wayang kulit dan tarian tradisional, kerana beliau mahu ia terus diingati oleh generasi akan datang – BERNAMA