WASHINGTON: Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat memutuskan bahawa Presiden Donald Trump tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif besar-besaran ke atas import di bawah undang-undang darurat negara.
Keputusan itu hanya akan berkuat kuasa pada 14 Oktober, sekali gus memberi masa kepada kerajaan untuk membuat rayuan ke Mahkamah Agung.
Masih tidak jelas bagaimana keputusan itu akan menjejaskan perdagangan dengan negara yang sudah terikat dalam perjanjian.
Trump telah pun mengumumkan hasrat untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan itu, sambil berkata penghapusan tarif akan menjadi “malapetaka besar” bagi AS.
“Hari ini sebuah Mahkamah Rayuan yang sangat berpihak politik menyatakan secara salah bahawa tarif kita perlu dihapuskan,“ katanya di platform Truth Social.
“Jika dibiarkan, keputusan ini secara literal akan memusnahkan Amerika Syarikat.”
Kes itu berkaitan tarif khusus mengikut negara yang pertama kali diumumkan Trump pada April, menyasarkan puluhan rakan dagang AS.
Pentadbiran kemudian menyesuaikan beberapa kadar, termasuk tarif 15% ke atas kebanyakan import Kesatuan Eropah, yang berkuat kuasa pada 7 Ogos.
Trump berhujah bahawa defisit perdagangan dengan negara lain menimbulkan risiko keselamatan negara, justeru memberi justifikasi untuk mengenakan tarif tanpa kelulusan Kongres.
Rayuan itu menyusul selepas keputusan sebuah mahkamah persekutuan di New York pada Mei yang secara kekal menghalang pelaksanaan tarif tersebut.
Pentadbiran Trump kemudian memohon semakan oleh Mahkamah Rayuan, yang pada awalnya menarik balik injunksi mahkamah New York untuk meneliti kes berkenaan.
Dalam keputusan pada Jumaat, Mahkamah Rayuan sebahagian besarnya mengekalkan keputusan mahkamah rendah, walaupun ia tidak secara langsung mengharamkan tarif itu.
Sejumlah 12 negeri AS memfailkan saman pada April, termasuk 10 yang diketuai Demokrat dan dua oleh Republikan.
Mereka berhujah bahawa menurut Perlembagaan AS, kuasa mengenakan cukai, tarif dan duti adalah milik Kongres AS, bukannya presiden. – Bernama