Kerajaan Persekutuan sokong usaha Sarawak perkukuh budaya integriti

KUCHING: Semua agensi Kerajaan Persekutuan akan terus menyokong usaha Kerajaan Negeri Sarawak dalam memperkukuh budaya integriti di negeri itu.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyatakan sokongan itu sebahagian daripada komitmen Persekutuan dalam memastikan agenda integriti menjadi landasan utama dalam mengurus, merancang dan melaksanakan dasar di Sarawak.

“Integriti bukan hanya bermakna menolak rasuah, tetapi ia merangkumi nilai amanah, ketelusan, akauntabiliti, keadilan, serta profesionalisme dalam semua urusan,” katanya ketika berucap di Majlis Hari Integriti Sarawak 2025.

Shamsul Azri menekankan integriti sebagai teras utama dalam pentadbiran dan ia menjadi kunci kepada pencapaian membanggakan Malaysia dalam laporan IMD World Competitiveness Ranking 2025.

“Lebih membanggakan, Indikator Sogokan dan Rasuah turut menunjukkan peningkatan positif, meningkat sebanyak 12 anak tangga ke kedudukan ke-34, menggambarkan keyakinan komuniti perniagaan terhadap ketegasan kerajaan dalam membanteras rasuah,” katanya.

Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk berada dalam kalangan 25 negara terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah menjelang tahun 2033.

“Setiap individu perlu memainkan peranan daripada guru di sekolah rendah, penjawat awam di kaunter, hinggalah kepada pemimpin tertinggi negara,” tegasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Institut Integriti Malaysia berharap institut itu akan terus bekerjasama rapat dengan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak Jabatan Premier Sarawak.

“Kerjasama sebegini seharusnya menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam memartabatkan agenda integriti masing-masing,” ujarnya.

Shamsul Azri menyeru semua penjawat awam di Sarawak untuk menjadi contoh teladan kepada masyarakat dalam melaksanakan amanah untuk rakyat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *