MyIPO tawarkan pakej pengurangan fi cap dagangan sempena HKHM 2025

PUTRAJAYA: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memperkenalkan Pakej Pengurangan Fi Cap Dagangan sempena sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia 2025.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan kempen bertemakan ‘Lindungi Jenama Lokal, Tembusi Pasaran Global’ ini berlangsung selama empat bulan mulai 1 September hingga 31 Disember 2025.

Beliau menjelaskan pakej ini menawarkan pengurangan fi sebanyak 300 ringgit dengan bayaran hanya 650 ringgit berbanding kadar asal 950 ringgit bagi setiap permohonan.

“Setiap permohonan bagi jenama atau logo perniagaan yang diluluskan pendaftarannya pula akan dilindungi selama 10 tahun di bawah undang-undang harta intelek.”

“Objektif inisiatif ini adalah untuk menggalakkan pendaftaran harta intelek sekali gus meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan jenama tempatan.”

Data SME Corporation menunjukkan sebanyak 96.1% daripada keseluruhan entiti perniagaan di Malaysia adalah PMKS dan lebih 70% daripadanya merupakan perusahaan mikro.

Armizan turut mengumumkan rakan strategik KPDN iaitu Shopee melancarkan ‘Kempen Shopee Payung 100 ringgit’ bermula 31 Ogos hingga 16 September.

“Melalui kempen ini pelanggan boleh mendapatkan baucer Shopee bernilai 100 ringgit dengan pembelian hanya 1 ringgit untuk digunakan bagi membeli barangan dalam platform seperti ShopeeFood, Shopee Live dan ShopeePay.”

Shopee memperuntukkan 10 juta ringgit di bawah kempen ini yang akan memberi manfaat kepada 100,000 pelanggan atau penggunanya.

Program ini juga menyaksikan pelancaran Bas Ezbiz On-The-Go 2.0 yang menawarkan perkhidmatan bergerak untuk akses mudah kepada perkhidmatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Bas baru ini menampilkan reka bentuk lebih kontemporari dan mesra pelanggan termasuk penggunaan teknologi terkini.

Antara kemudahan yang dipertingkatkan ialah saiz bas yang lebih besar, perkhidmatan kaunter moden, dan terminal layan diri dengan kiosk skrin sesentuh mudah alih. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *