Pearly-Thinaah mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2025

PARIS: Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah tidak berdepan masalah untuk menempah tempat ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2025 selepas mudah melepasi halangan gandingan Hong Kong di Paris, Perancis.

Pasangan nombor dua dunia itu hanya memerlukan 37 minit untuk menoktahkan kemenangan ke atas Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan 21-17, 21-14 di Adidas Arena.

Menanti Pearly-Thinaah di pusingan seterusnya ialah antara pasangan tuan rumah Tea Margueritte-Flavie Vallet dan gandingan Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.

Beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mudah mengetepikan wakil Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-13, 21-17 untuk mara ke pusingan ketiga.

Wan Arif-Roy King akan membuat perhitungan menentang antara rakan senegara yang juga bekas juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley.

Beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut mara selepas mengatasi Malik Bourakkadi-Leona Michalski dari Jerman 21-10, 18-21, 21-12.

Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie juga mara selepas menundukkan Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong dari Thailand 21-19, 21-15.

Pang Ron-Su Yin dan Soon Huat-Lai Shevon akan bertemu sesama mereka di pusingan ketiga.

Perseorangan lelaki Leong Jun Hao terkandas selepas tewas kepada pemain Jepun Kenta Nishimoto, 21-17, 13-21, 23-25.

Beregu wanita Go Pei Kee-Teoh Mei Xing tumpas di tangan wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva, 11-21, 9-21.

Perseorangan wanita K. Letshanaa juga tewas di tangan Pusarla V. Sindhu dari India 19-21, 15-21. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *