MITI komited bangunkan industri nadir bumi, percepat R&D teknologi tempatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk membangunkan dan menarik lebih ramai pelabur berpotensi dalam memperkasakan aktiviti pengeluaran di sepanjang rantaian bekalan unsur nadir bumi (REE) di Malaysia.

Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong berkata langkah itu dilaksanakan melalui Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Industri REE peringkat pertengahan dan hiliran yang dipengerusikan MITI.

Katanya pembangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi tempatan perlu dipercepatkan agar Malaysia dapat meraih manfaat daripada penghasilan produk berteknologi tinggi menggunakan sumber sendiri.

“Antara strategi yang dilaksanakan termasuklah meneroka kerjasama dengan negara yang memiliki kepakaran REE melalui pertemuan peringkat tinggi kerajaan, misi perdagangan dan pelaburan, rundingan perdagangan bebas serta mesyuarat dua hala dengan rakan dagang strategik.

“Pendekatan ini penting kerana walaupun Malaysia dikenal pasti mempunyai deposit REE, negara masih tidak mempunyai kepakaran dan keupayaan teknologi untuk memproses REE tempatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai langkah kerajaan menggunakan deposit sumber mineral negara sebagai sebahagian perundingan diplomasi bagi mengurangkan kesan geopolitik terhadap perdagangan global.

Katanya dasar ini berkesinambungan dalam menyokong usaha kerajaan ke arah pembangunan bahan termaju termasuk sumber bijih mineral REE yang bernilai tinggi.

Menjawab soalan tambahan mengenai sistem pengurusan mineral bukan hidrokarbon seperti emas dan bijih, Liew menjelaskan Malaysia masih belum mempunyai struktur jelas seperti dalam sektor petroleum.

“Oleh itu, kita memerlukan struktur yang lebih teratur supaya kita dapat memproses dan menguasai teknologi atau menjemput pihak yang mempunyai teknologi tersebut untuk membantu dalam pemprosesan serta menjaga keseluruhan rantaian nilai.

“Bukan sahaja kita, malah banyak negara lain juga masih jauh daripada realiti tersebut kerana setakat ini hanya China yang menguasai 90 peratus keupayaan pemprosesan. REE juga telah menjadi senjata dalam perang dagang.

Pada masa depan, Liew berkata kerajaan sedang berunding dengan pelbagai negara termasuk China, Amerika Syarikat dan lain-lain bagi mencari jalan untuk memperoleh keupayaan pemprosesan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *