KUALA LUMPUR: Jajaran Lebuhraya Pan Borneo dari Kota Kinabalu ke Kudat dijadualkan siap secara berperingkat selewat-lewatnya suku ketiga 2028.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan jajaran tersebut melibatkan pembinaan jalan pesisiran pantai merangkumi lapan pakej kerja.
“Setakat ini, empat daripada 35 pakej kerja LPB Sabah telah siap dan dibuka kepada pengguna,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Beliau menjelaskan status kemajuan projek berbeza mengikut pakej dengan sebahagiannya hampir siap manakala baki dijangka siap secara berperingkat sehingga 2028.
Antara pakej yang hampir siap ialah Pakej 10 Bintulu-Rampaian Laut dengan kemajuan 97.11% yang dijangka siap 14 November tahun ini.
Pakej 8 Sepanggar-Bulatan Berungis mencatatkan kemajuan 84.24% dan dijadual siap pada 10 Disember 2025.
Sementara itu, Pakej 7 Inanam-Sepanggar merekodkan kemajuan 87.91% dan dijangka siap pada 2 November 2026.
Nanta menegaskan projek LPB Sabah sejauh 706 kilometer adalah projek berimpak tinggi dan menjadi keutamaan Kementerian Kerja Raya.
“Pihaknya komited memastikan ia siap mengikut jadual demi memperkukuh jaringan infrastruktur jalan raya Persekutuan di Sabah,” katanya. – Bernama