PUTRAJAYA: Pemimpin dan ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan sebarang isu atau tindakan perlu menggunakan saluran parti termasuk mengemukakan laporan kepada Lembaga Disiplin.
Ketua Penerangannya Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan Umno mempunyai sistem serta prosedur tersusun dalam menangani isu melibatkan disiplin anggotanya sejak 1946.
“Saya lihat kalau ada sesiapa yang tidak berpuas hati, mereka boleh lapor kepada Lembaga Disiplin parti,“ katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang.
Beliau berkata Umno adalah parti ada tradisi dimana apa-apa isu biasanya dibawa kepada perbincangan.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas perbalahan antara Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Majlis Tertinggi parti berkenaan Datuk Lokman Noor Adam.
Muhamad Akmal dilaporkan telah mencabar Lokman Noor supaya berdepan dengannya sama ada di mahkamah atau di gelanggang ekoran tuduhan kononnya beliau mempunyai agenda tersembunyi.
Azalina menekankan bahawa surat daripada Pemuda Umno Kapar kepada Lembaga Disiplin yang mendesak tindakan terhadap Lokman Noor boleh disalurkan kepada parti untuk dibincangkan.
“Umno mengamalkan demokrasi… nak kritik pun demokrasi, tak setuju pun demokrasi, sokong pun demokrasi,“ katanya.
Beliau menambah Umno sebagai parti lama mempunyai pelbagai karakter dalam kalangan ahli dan kepimpinan dimana isu serius boleh dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi. – Bernama