KOTA BHARU: Seorang bapa yang dikhuatiri lemas selepas berjaya menyelamatkan anak lelakinya yang terjatuh ke dalam sungai ditemui telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata mayat Saifuldin Ramli @ Ghazali, 46, ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 7 pagi.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kejadian berlaku pada 25 Ogos ketika mangsa keluar berjalan-jalan bersama empat anaknya.
Seorang daripada anaknya terjatuh ke dalam sungai berhampiran rumah mereka di Jalan Kampung Sat, Tanah Merah.
Mangsa berjaya menyelamatkan anak lelakinya yang berusia 11 tahun itu sebelum dia sendiri hilang dibawa arus sungai.
Mayat ditemui pada jarak kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian asal. – Bernama