COLOMBO: Mahkamah Sri Lanka telah membenarkan bekas Presiden Ranil Wickremesinghe yang baru ditahan dan direman untuk dibebaskan dengan ikat jamin pada petang Selasa.
Majistret Colombo Fort Nilupuli Lankapura mengeluarkan perintah pembebasan dengan tiga bon tanggungan masing-masing bernilai lima juta rupee.
Perbicaraan kes terhadap bekas presiden itu berlangsung di Mahkamah Majistret Colombo Fort sekitar pukul 1.40 tengah hari Selasa.
Wickremesinghe yang sedang menerima rawatan di Hospital Nasional Colombo mengikuti prosiding mahkamah secara maya.
Peguam bela beliau mengemukakan laporan perubatan terperinci mengenai keadaan kesihatannya semasa perbicaraan.
Tiga daripada empat arteri koronari Wickremesinghe dilaporkan tersumbat dengan beberapa komplikasi kesihatan lain.
Peguam tersebut merayu mahkamah mempertimbangkan faktor kesihatan sebagai keadaan luar biasa untuk permohonan ikat jamin.
Majistret menetapkan tarikh siasatan lanjut bagi kes ini pada 29 Oktober.
Wickremesinghe ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah berhubung dakwaan menyalahgunakan dana kerajaan.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Sri Lanka seorang bekas presiden ditahan dan direman. – Bernama, Xinhua