KUALA LUMPUR: Kadar tarif baharu Amerika Syarikat ke atas Malaysia masih mengekalkan kedudukan kompetitif negara dalam perdagangan antarabangsa.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan keputusan kerajaan untuk tidak mengambil tindakan balas dan memilih jalan rundingan secara berhemah telah membuahkan hasil yang pragmatik dan seimbang.
Amerika Syarikat mengumumkan pengenaan tarif timbal balas ke atas semua rakan dagangan termasuk Malaysia pada kadar 19% berkuat kuasa 8 Ogos 2025.
“Walaupun kadar tarif telah diturunkan daripada 25% kepada 19%, kesannya dijangka masih wujud walaupun pada tahap minimum berbanding sebelumnya,” kata MITI dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen pada Selasa.
Kementerian menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai impak dan pelarasan industri apabila tarif timbal balas AS dikurangkan kepada 19% bagi barangan eksport ke negara itu selepas 7 Ogos 2025.
Pengenaan tarif dijangka memberi kesan langsung kepada permintaan terhadap produk Malaysia di pasaran AS kerana peningkatan tarif akan menyebabkan kos import yang lebih tinggi.
“Ini sekali gus membawa kepada kenaikan harga barangan di AS, di samping kemungkinan pengimport AS akan mendesak pengeksport Malaysia untuk menanggung tarif timbal balas itu,” katanya.
Kerajaan melalui MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia telah mengambil langkah mitigasi menyedari impak utama kepada eksport Malaysia.
Antara langkah itu adalah melaksanakan jerayawara terhadap sektor industri yang terlibat bagi memberi penerangan berhubung pelaksanaan tarif serta peluang sokongan yang tersedia.
MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia turut melaksanakan beberapa strategi dalam usaha menggalakkan pelaburan dalam sektor bernilai tinggi.
Strategi tersebut boleh menyumbang kepada pembangunan industri, ekosistem dan pengukuhan rantaian bekalan tempatan bagi mengekalkan daya saing Malaysia. – Bernama