Lebih 31,000 kes penipuan dalam talian disiasat, 11,864 individu ditahan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia menahan 11,864 individu yang dipercayai terlibat dalam 31,949 kes penipuan membabitkan kerugian RM1.5 bilion sepanjang tahun lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tangkapan itu dilakukan hasil hampir 10,000 operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

“Ini bukan kerja mudah, tanggungjawabnya berat, namun ia dilaksanakan dengan cemerlang oleh pasukan polis,” katanya pada majlis penutup Dialog Khas Polis III di sini.

Beliau menyatakan kepakaran JSJK bukan sahaja melindungi ekonomi negara malah meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan.

Saifuddin Nasution mengingatkan anggota polis supaya terus meningkatkan keupayaan dan kompetensi sebagai agensi penguatkuasaan utama negara.

Beliau menekankan keperluan menguasai penggunaan kecerdasan buatan dalam membanteras jenayah khususnya jenayah siber.

“Kementerian juga komited untuk memperkukuh pasukan polis melalui pemodenan infrastruktur, pengembangan kapasiti serta sokongan rentas sektor,” katanya.

Dialog tersebut menumpukan isu keselamatan negara yang kini merangkumi perlindungan data, kedaulatan digital dan kesedaran siber kolektif.

“Antara mesej utama adalah keperluan memperkukuh kerjasama antara agensi menghadapi jenayah siber yang semakin kompleks,” ujarnya.

Penekanan turut diberikan kepada peranan JSJK sebagai barisan hadapan memerangi jenayah komersial.

Kepakaran mereka bukan sahaja melindungi ekonomi negara malah meningkatkan keyakinan serta kepercayaan masyarakat.

Dialog anjuran JSJK dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri menghimpunkan agensi keselamatan, pakar teknologi, ahli akademik serta sektor swasta. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *