PEKAN: Polis berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah dengan menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri serta merampas dadah bernilai RM32,020 dalam dua serbuan berasingan di sini pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata serbuan pada pukul 7 malam itu dijalankan oleh pasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Pekan.
Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Geylang, polis menahan seorang penganggur lelaki berusia 49 tahun yang memiliki lima rekod kes dadah.
Pemeriksaan mendapati suspek menyimpan serangkai kunci peti besi dan sebuah peti besi di rumah tersebut.
Apabila peti besi itu berjaya dibuka menggunakan kunci tersebut, polis menjumpai bungkusan plastik putih berisi 25 peket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki syabu seberat 831.9 gram.
Pihak polis turut merampas sebuah beg berzip mengandungi bungkusan plastik lut sinar berisi pil disyaki yaba seberat 201.56 gram.
Dalam serbuan kedua di Kampung Pelangkah, polis menahan suami isteri berusia 48 dan 28 tahun yang masing-masing merupakan penganggur dan suri rumah.
Lelaki itu memiliki 19 rekod lampau berkaitan dadah dan satu rekod jenayah manakala isterinya memiliki tiga rekod kes dadah.
Keseluruhan rampasan dadah seberat 1,033.46 gram itu dianggar mampu dibekalkan kepada 2,066 penagih dalam tempoh satu hari.
Kesemua suspek kini direman sehingga 30 Ogos ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama