Mahkamah tolak permohonan OKU fail petisyen rayuan luar tempoh masa

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan seorang lelaki Orang Kurang Upaya untuk memfailkan petisyen rayuan di luar tempoh masa dalam kes pembunuhan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais membuat keputusan tersebut hari ini.

Kang Chang Heng yang berusia 46 tahun diperintahkan membela diri atas pertuduhan membunuh dan membakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat.

Hakim memutuskan keputusan Mahkamah Rayuan sebelumnya bukan keputusan akhir tetapi perintah tidak menghapuskan hak perayu secara muktamad.

“Perayu masih mempunyai hak untuk membela diri dan sekiranya disabitkan kesalahan, dia masih mempunyai hak untuk membuat rayuan,“ kata Hakim Abu Bakar.

Mahkamah menetapkan esok untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Panel turut membatalkan notis rayuan yang difailkan Kang berhubung keputusan Mahkamah Rayuan sebelumnya.

Seorang jurubahasa isyarat hadir untuk menterjemah prosiding mahkamah kepada perayu.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling hadir bagi pihak pendakwaan manakala Kang diwakili peguam Lim Chin Huat.

Pada 2 September 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Kang.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 19 Oktober 2022 melepaskan dan membebaskan Kang tanpa perlu membela diri.

Kang dituduh membunuh Chia Tee Nang (73), isterinya Lim Mai Shak (68), dan dua cucu lelaki mereka berusia 3 dan 9 tahun.

Tertuduh turut didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Andrew Chia Zeng Haol yang berusia 11 tahun.

Andrew terselamat daripada kebakaran yang dicetuskan Kang pada masa dan tempat sama.

Kang yang bekerja sebagai pekerja kilang perabot ditahan pada 15 Disember 2017.

Beliau dipercayai teman lelaki anak perempuan bongsu pasangan suami isteri yang terkorban. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *