PUTRAJAYA: Forum Pekerjaan Hijau ASEAN 2025 akan berlangsung di Putrajaya pada 27 dan 28 Ogos sempena peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
Forum berprofil tinggi ini dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan sokongan Sekretariat ASEAN dan Kerajaan Australia melalui Inisiatif Aus4ASEAN Futures.
AGJF 2025 akan menghimpunkan pegawai tinggi buruh, pembuat dasar, pemimpin industri, penyedia pendidikan dan rakan sosial untuk membincangkan tema AI, pendigitalan dan pekerjaan hijau.
Forum ini memberi tumpuan daripada perancangan visi kepada perancangan pelaksanaan berdasarkan kejayaan forum sulung pada April 2024 di Kuala Lumpur.
Perbincangan akan menekankan bidang khusus dalam rantaian nilai yang mempunyai potensi peluang hijau menggunakan kajian kes dunia sebenar.
Platform ini akan menonjolkan perkongsian yang boleh diperluaskan di seluruh rantau bagi mengukuhkan komitmen bersama ASEAN terhadap pertumbuhan ekonomi inklusif dan mampan.
AGJF 2025 akan meneroka peralihan kembar pendigitalan dan penyahkarbonan serta kesannya terhadap pekerjaan dan kemahiran.
Ia menjadi wadah untuk menampilkan penyelesaian berskala besar dan strategi memperluaskan kerjasama inovatif di rantau ini.
Forum ini memudahkan dialog bagi menyelaraskan dasar pembangunan kemahiran dengan keperluan industri semasa.
Antara sesi utama bengkel dua hari itu ialah Sesi Pleno Pemimpin Buruh, dialog peringkat tinggi serta sesi soal jawab bersama pembuat dasar.
AGJF 2025 turut menampilkan panel pemikir mengenai tumpuan peralihan hijau dan adil serta strategi korporat dalam menyesuaikan diri dengan peralihan hijau.
Panel akan membincangkan portfolio aset hijau, pembiayaan hijau termasuk mikro pembiayaan hijau dan peluang hijau dalam rantaian nilai sektor utama.
Sektor utama yang akan dibincangkan termasuk pertanian, pengangkutan, tenaga dan rantaian bekalan.
Sesi panel itu menjadi ruang untuk membincangkan risiko transformasi hijau terhadap komuniti terpinggir.
Perbincangan akan fokus kepada bagaimana pelbagai pihak dalam masyarakat boleh menyokong pertumbuhan mampan yang inklusif.
Sesi jaringan akan diadakan untuk menteri, pemimpin industri dan penggiat masyarakat sivil bagi bertukar pandangan.
Sesi ini membolehkan jaringan rentas sektor dan menggalakkan pembinaan perkongsian strategik.
Ia menyokong pembentukan visi kolektif ASEAN ke arah tenaga kerja hijau dan inklusif untuk masa depan rantau ini. – Bernama