PGA gagalkan cubaan seludup kosmetik Thailand bernilai RM500,000

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai produk kosmetik bernilai lebih setengah juta ringgit dari Thailand.

Operasi Taring Wawasan di kawasan pangkalan haram Kebun, Pengkalan Kubor, Tumpat menemui rampasan bernilai RM511,000.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata pasukan sedang meronda ketika mengesan dua lelaki memindahkan kotak dari perahu ke kenderaan.

Pemandu kenderaan berusia 63 tahun berjaya ditahan manakala dua lagi suspek melarikan diri ke Thailand.

Pemeriksaan mendapati 15 kotak mengandungi lebih 5,000 unit produk kosmetik disyaki buatan negara jiran.

Kesemua barang rampasan diserahkan kepada Kastam Pengkalan Kubor untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin menegaskan Kementerian Kesihatan memandang serius kegiatan pengedaran produk farmaseutikal tidak berdaftar.

Sejak 2023 hingga Ogos 2025, Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Kelantan melaksanakan 185 serbuan dengan nilai rampasan RM2.1 juta melibatkan 190 produk kosmetik.

Memiliki atau menjual produk kosmetik tidak bernotifikasi merupakan kesalahan di bawah Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama manakala syarikat boleh didenda sehingga RM100,000.

Orang ramai diingatkan supaya hanya membeli produk kosmetik yang mempunyai notifikasi KKM demi keselamatan kesihatan pengguna. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *