JWP dan DBKL diarah teliti semua syor PAC berkaitan pembangunan tanah KL

KUALA LUMPUR: Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur diarahkan meneliti semua syor yang dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berhubung pembangunan tanah di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyatakan meskipun beberapa isu yang dibangkitkan dalam laporan PAC berada di luar bidang kuasa JWP dan DBKL, kedua-dua agensi tetap diminta meneliti syor berkenaan.

Beliau menekankan bahawa syor-syor tersebut perlu diteliti khususnya yang berkaitan dengan tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing.

“Saya mengambil maklum dapatan yang dikemukakan di dalam laporan PAC terkait pembangunan tanah Kuala Lumpur yang dibahaskan di Parlimen sebentar tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

“Bagi melengkapkan laporan tersebut, semua pihak yang berkaitan, termasuk Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, telah dipanggil oleh PAC serta telah memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu prosiding,” tambahnya.

Dr Zaliha menjelaskan isu pembangunan tanah di Kuala Lumpur tidak boleh dilihat secara terpisah sebaliknya mesti difahami dalam kerangka perundangan, dasar perancangan bandar serta garis panduan pembangunan yang telah ditetapkan kerajaan.

“Kerajaan MADANI akan sentiasa komited untuk memastikan setiap langkah pembangunan tanah di Kuala Lumpur dilaksanakan dengan lebih telus, teratur dan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik demi kepentingan rakyat serta kelestarian bandar raya,” tegasnya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *