JKDM Perak gagalkan 26 cubaan seludup, rampasan bernilai RM2.2 juta

IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perak berjaya menumpaskan 26 cubaan penyeludupan pelbagai produk sepanjang Operasi Macan Legit II dengan anggaran rampasan dan duti berjumlah RM2,245,518.54.

Pengarah Kastam Perak Mohd Nadzri Ariffin berkata daripada jumlah itu, empat kes utama melibatkan minuman keras, produk makanan sejuk beku, rokok dan beras dengan nilai rampasan serta cukai tertinggi.

Beliau berkata kes pertama membabitkan rampasan minuman keras bernilai RM316,626.54 selepas pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah lori di Sitiawan pada 13 Ogos.

“Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang juga pemandu dan pemilik lori turut ditahan selepas pemeriksaan mendapati minuman keras yang dibawa adalah barang larangan di bawah Perintah Duti Kastam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan sama,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Perak di sini hari ini.

Mohd Nadzri berkata kes kedua melibatkan rampasan 14,004 paket ayam sejuk beku seberat 29,000 kilogram tanpa permit import sah bernilai RM289,275 di Pelabuhan Klang, Selangor pada 12 Ogos.

“Kami dimaklumkan barangan itu dibawa masuk dari China dan rampasan dibuat kerana ia bukan dalam senarai yang diluluskan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata dalam kes berasingan, JKDM Perak merampas rokok putih dan kretek pelbagai jenama bernilai RM162,240.10 di sebuah rumah kosong di Kampung Keramat, Bagan Serai pada 6 Ogos.

“Tiada tangkapan yang dibuat dan hasil maklumat yang diterima rokok-rokok yang dirampas itu kemungkinan akan dijual di pasaran tempatan,” katanya.

Selain itu, Mohd Nadzri berkata terdapat rampasan 6.6 tan beras bernilai RM29,691.20 di sebuah gudang di Shah Alam, Selangor pada 14 Ogos, dipercayai diimport tanpa permit sah daripada Padiberas Nasional Berhad. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *