880 kotak keropok ikan guna logo halal tidak sah disita di Perak

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Perak menyita 880 kotak produk keropok ikan bernilai RM40,299 yang menggunakan logo halal tidak sah.

Serbuan dilakukan di sebuah kilang memproses makanan di Hutan Melintang berhampiran Teluk Intan pada pagi semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamaluddin Ismail menyatakan operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak.

“Pemeriksaan mendapati pemilik kilang gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,“ katanya.

Kes ini disiasat di bawah Perintah 8 (a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana memperaku makanan sebagai halal tanpa kebenaran sah.

Pihak berkuasa turut menemui 1,750 liter minyak diesel dan 136 kilogram minyak masak peket tanpa permit.

Nilai rampasan bahan kawalan tersebut ialah RM5,065 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM45,364.

“Pemilik juga gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran atau lesen untuk menyimpan barang kawalan diesel dan minyak masak daripada Pengawal Bekalan,“ jelas Kamaluddin.

Dua kertas siasatan telah dibuka mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *