KUALA LUMPUR: Rapid KL memperkenalkan promosi Pas MyTourist dengan harga lebih rendah sempena Bulan Kebangsaan sebagai sebahagian daripada kempen ‘Rapid KL Denyut Nadi Merdeka’.
Bermula 22 Ogos lepas, pas ini ditawarkan kepada warganegara Malaysia serendah RM15 bagi satu hari, RM20 untuk dua hari dan RM25 untuk tiga hari.
Bagi bukan warganegara pula, Pas MyTourist ditawarkan pada harga RM35 bagi satu hari, RM50 untuk dua hari dan RM65 untuk tiga hari.
Pas ini menawarkan perjalanan tanpa had di semua rangkaian perkhidmatan Rapid KL termasuk tren, Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, bas Rapid KL, bas pengantara MRT dan Rapid KL On-Demand di Lembah Klang.
Selain perjalanan tanpa had, pemegang Pas MyTourist turut menerima manfaat tambahan selama tujuh hari berturut-turut daripada lebih 40 rakan strategik.
Manfaat tersebut termasuk potongan harga di pusat-pusat tarikan pelancong, pusat beli-belah, restoran dan kafe, dengan jumlah penjimatan bernilai sehingga RM800.
Rapid KL memaklumkan inisiatif itu memberi peluang kepada orang ramai untuk menyemarakkan semangat patriotisme dengan menggunakan pengangkutan awam.
Inisiatif ini membolehkan pengguna meneroka Lembah Klang dengan mudah sambil menikmati penjimatan hebat dan tawaran eksklusif daripada rakan strategik Pas MyTourist.
Pas MyTourist boleh dibeli di kaunter Khidmat Pelanggan Rapid KL, aplikasi MyRapid PULSE atau secara dalam talian di MyRapid Shop (shop.myrapid.com.my). – Bernama