Tiada tekanan beli 30 pesawat Boeing untuk Malaysia Airlines – MITI

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri menegaskan tiada tekanan terhadap Malaysia Airlines untuk membeli 30 pesawat Boeing sebagai syarat pengurangan tarif Amerika Syarikat.

Menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, MITI menyatakan keputusan pembaharuan armada MAS berdasarkan pertimbangan komersial dan keperluan operasi jangka panjang.

“Ianya bukanlah hasil desakan atau paksaan daripada mana-mana pihak luar.

“Malahan, pesanan awal terhadap 25 unit B737 MAX telah dibuat sejak tahun 2016, jauh mendahului rundingan tarif yang dilaksana barubaru ini,” kata kementerian itu.

MITI menjelaskan tambahan 30 unit B737 MAX pada Mac 2025 merupakan sebahagian strategi penyegaran armada secara berfasa.

Langkah ini menggantikan pesawat berusia purata 14 tahun bagi mengekalkan tahap keselamatan dan meningkatkan kecekapan bahan api.

Keputusan perolehan pesawat Boeing mengukuhkan ekosistem aeroangkasa negara melalui penyertaan dalam rantaian bekalan global.

Industri aeroangkasa menyumbang pelaburan bernilai 25.1 billion ringgit dan mewujudkan 30,000 pekerjaan berkualiti tinggi pada tahun 2024.

Boeing menjangkakan peningkatan trafik penumpang global sebanyak 4.7% setahun untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Pelaburan dalam pesawat komersial membolehkan Malaysia memanfaatkan potensi pertumbuhan industri pelancongan.

“Ia adalah keputusan komersial berlandaskan faktor perniagaan dan ekonomi,” kata MITI. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *