JAKARTA: Kontinjen Malaysia menutup tirai Sukan SEA Pekak 2025 dengan 25 pingat emas, 16 perak dan 11 gangsa sekaligus dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Ketua Kontinjen Malaysia Sarkunan Balakrishnan meluahkan kebanggaan dengan menyatakan “Kami sudah buktikan!”
Beliau berkata kejayaan luar biasa itu wajar diiringi dengan pengiktirafan daripada kerajaan menerusi insentif khas dan ganjaran kepada atlet, jurulatih serta pegawai yang mengharumkan nama negara.
“Kami sangat berharap Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan Malaysia serta pihak berkaitan dapat menyalurkan insentif dan ganjaran kepada atlet, jurulatih dan pegawai sebagai bonus atau saguhati, sekali gus menggalakkan pembangunan sukan orang pekak.”
Sarkunan juga berharap kerajaan negeri dapat membantu persatuan orang pekak di peringkat negeri masing-masing kerana setiap kali menyertai kejohanan memerlukan peruntukan besar.
Malaysia menutup temasya edisi kedua ini dengan penuh gemilang, jauh mengatasi sasaran awal 16 pingat emas.
Kejayaan itu melakar sejarah baharu berbanding kutipan 15 emas pada edisi sulung di Kuala Lumpur, 2022.
Pingat emas ke-25 hadir menerusi pemain boling wanita, Siw Sing Hie, yang unggul dalam acara Masters selepas mencatat 1,491 jatuhan pin.
Kontinjen negara yang dibarisi 80 atlet dan pegawai menyerlah dalam olahraga dengan 10 emas, boling dengan 8 emas, catur dengan 5 emas dan badminton dengan 2 emas.
Sarkunan menegaskan kejayaan ini membuktikan sokongan kerajaan sejak kebelakangan ini banyak membantu memperkukuh latihan jangka panjang dan program pembangunan atlet pekak negara.
Malaysia kini bersiap siaga untuk menggalas tanggungjawab lebih besar apabila diumumkan sebagai tuan rumah Sukan SEA Pekak 2027 di Pulau Pinang.
Enam acara baharu termasuk orienteering dan e-sukan dijangka dipertandingkan dalam temasya 2027.
“Kami akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Pulau Pinang bagi memastikan penganjuran berjalan sistematik dan terbaik,” katanya.
Dengan pencapaian ini, Malaysia terus mengukuhkan status sebagai kuasa besar sukan pekak serantau. – Bernama