Malaysia dan Singapura bincang keselamatan siber dan infrastruktur bawah laut

KUALA LUMPUR: Isu keselamatan infrastruktur bawah laut menjadi agenda utama dalam kunjungan hormat rasmi pertama Menteri Pertahanan Singapura Chan Chun Sing ke Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan bahawa Chan membangkitkan cabaran keselamatan infrastruktur bawah laut yang menghubungkan bekalan tenaga baharu antara kedua-dua negara.

“Singapura telah mengangkat cadangan mengenai keselamatan infrastruktur bawah laut iaitu soal bagaimana jika kita tidak melakukan apa-apa tindakan ia boleh memberi cabaran keselamatan kepada kedua-dua negara,” katanya.

Mohamed Khaled berkata pertemuan itu turut membincangkan perkongsian pengalaman dalam aspek keselamatan siber, terutama yang melibatkan teknologi dron dan pesawat tanpa pemandu.

Beliau berkata kedua-dua negara juga bersepakat bahawa adalah penting untuk ASEAN sentiasa mengekalkan keamanan dan kestabilan.

“Pada masa yang sama kami turut bersetuju bahawa konflik serta gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja perlu diselesaikan segera,” katanya.

Mohamed Khaled dan Chan turut menyaksikan Majlis Menandatangani Pengaturan antara Kerajaan Malaysia dan Singapura untuk Sokongan dan Kerjasama Penyelamatan Bersama Kapal Selam.

Dokumen itu ditandatangani Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Laut Singapura Laksamana Madya Sean Wat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *