Polis Johor rampas dadah RM2.6 juta dalam serbuan pangsapuri mewah

JOHOR BAHRU: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan pangsapuri mewah sekitar daerah ini sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan menerusi rampasan bahan terlarang bernilai RM2.6 juta dalam dua operasi khas minggu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata dalam empat serbuan berasingan pada 18 dan 20 Ogos, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor turut menahan empat individu dipercayai berperanan sebagai pekerja sindiket.

Beliau berkata sindiket yang memilih pangsapuri berpagar dan berpengawal itu dipercayai mengedar dadah untuk pasaran tempatan termasuk di pusat hiburan.

“Dalam operasi pertama di tiga unit pangsapuri, polis menahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita Vietnam berusia 29 hingga 33 tahun.

“Hasil serbuan menemukan 7.15 kilogram (kg) serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), 1.26kg serbuk ekstasi, 11 gram ketamin dan 230 biji pil ekstasi di dalam sebuah unit pangsapuri,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata hasil serbuan susulan di sebuah lagi pangsapuri, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dan merampas 8.34 kg serbuk MDMA, 5.61kg serbuk ekstasi, 11.25 gram ketamin, 10 biji pil ekstasi, empat biji pil erimin 5 dan 19 botol cecair dadah.

Ab Rahaman berkata menerusi keempat-empat serbuan terbabit, polis menyita wang tunai RM7,050, dua cincin emas dan sebuah kereta.

Beliau berkata hasil saringan urin mendapati tiga yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine, manakala semakan mendapati seorang memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Kesemuanya direman hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *