KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi penekanan kepada pemerkasaan ketersambungan serantau dengan memperhebat penglibatan dan peranan Malaysia di pentas ekonomi dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pengukuhan ini termasuk melalui pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Grid Kuasa ASEAN, inisiatif ASEAN Connectivity by Rail dan Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC).
“JS-SEZ merupakan kerjasama rentas sempadan yang berpotensi menjana ratusan ribu peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan industri bernilai tinggi.”
“Pada masa sama, Grid Kuasa ASEAN dan AZEC akan mengukuhkan kerjasama tenaga dan peralihan hijau di rantau ini,” kata beliau ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di Dewan Negara.
Prakarsa ini merupakan antara tonggak utama untuk memastikan limpahan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh, selain meningkatkan daya saing negara sebagai pintu masuk pelaburan serantau.
RMK13 yang bertema Melakar Semula Pembangunan turut menetapkan agenda peralihan ekonomi berasaskan penciptaan nilai, termasuk memperkukuh rantaian bekalan strategik dalam sektor elektrik dan elektronik, halal, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Dalam konteks pelaburan, RMK13 memerlukan dana berjumlah 611 billion ringgit, terdiri daripada peruntukan pembangunan kerajaan, pelaburan syarikat berkaitan kerajaan dan perkongsian awam-swasta.
Pendidikan, kesihatan, perumahan dan infrastruktur asas menjadi sektor tumpuan utama dalam rancangan pembangunan negara ini.
Pembangunan wilayah dan desa juga diberi keutamaan bagi memastikan agihan ekonomi yang lebih adil, termasuk menerusi projek infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo, Rapid Transit System Link Johor–Singapura, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam serta laluan perdagangan Malaysia-Thailand. – Bernama