KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman difailkan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga yang lain berhubung dakwaan yuran guaman berjumlah RM12.5 juta yang tidak dijelaskan.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan bahawa Mohamed Haniff selaku plaintif telah memberikan perkhidmatannya kepada Bersatu antara 2016 hingga 2020 adalah secara sukarela dan tidak tertakluk kepada sebarang perjanjian pembayaran.
“Ini adalah bukti ketika parti ini (Bersatu) ditubuhkan, pelbagai pihak telah memberikan khidmat secara sukarela, termasuk seorang peguam. Seorang daripada peguam telah memberi keterangan menyatakan tidak timbul isu pembayaran bagi perkhidmatan lain yang telah diberikan,” katanya.
Menurut hakim berkenaan, keterangan itu menunjukkan bahawa tugas plaintif dalam memberikan nasihat berhubung penubuhan Bersatu dan hal-hal berkaitan adalah sebahagian daripada usaha bersama untuk menubuhkan parti terbabit demi manfaat rakyat Malaysia, dan bukan berdasarkan suatu kontrak untuk bayaran.
Akhtar berkata Mohamed Haniff tidak pernah membangkitkan isu pembayaran atau mengemukakan sebarang bil sepanjang tempoh berkaitan, dan invois pertamanya hanya dihantar pada Januari 2021, hampir setahun selepas Bersatu keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).
“Perkara ini menyokong kenyataan defendan bahawa tiada persetujuan untuk membayar bagi perkhidmatan terbabit. Bil hanya dihantar kemudian dan pihak defendan tidak mengambil tindakan kerana tiada sebarang perjanjian dibuat. Mahkamah mendapati plaintif telah memberikan perkhidmatannya, sama ada dalam bidang guaman atau lain-lain, secara sukarela tanpa sebarang bayaran untuk perkhidmatan diberikan.
“Sehubungan dengan itu, mahkamah menolak tuntutan plaintif dengan kos sebanyak RM150,000,” kata hakim itu.
Mohamed Haniff telah memfailkan saman pada Julai 2021 dan menamakan Bersatu, Presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Bendahari Datuk Mohamed Salleh Bajuri selaku defendan.
Beliau mendakwa telah membantu parti itu dalam hal undang-undang sejak penubuhannya pada 2016, di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Plaintif berkata sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU1), beliau mewakili parti dalam saman kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa terhadap perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan pentadbirannya.
Mohamed Haniff mendakwa beliau juga memberikan nasihat undang-undang dan membantu merangka perlembagaan Bersatu dan surat-menyurat selain membantu dalam penubuhan jawatankuasa sementara parti itu dan turut menghadapi cabaran terhadap pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) semasa Najib menjadi perdana menteri.
Tambah peguam itu, beliau turut memberi nasihat kepada Bersatu dari semasa ke semasa hingga Februari 2020 apabila kerajaan PH tumbang berikutan ‘Langkah Sheraton’.
Mohamed Haniff mendakwa beliau menghantar invois pada 11 Jan 2021 kepada Bersatu untuk perkhidmatan guammnya yang telah diberikan dari 2016 hingga 23 Feb 2020, dan terdapat pengakuan penerimaan oleh parti terbabit, bagaimanapun tiada maklum balas daripada parti berhubung perkara itu.
Sementara itu, Bersatu dan pemegang jawatannya dalam pernyataan pembelaan mereka mendakwa bahawa tiada perjanjian antara peguam dan parti itu dan mendakwa semua perkhidmatan yang dijalankan Mohamed Haniff adalah sukarela tanpa mengharapkan bayaran.
Defendan juga mendakwa bahawa perkhidmatan guaman hanya diberikan kepada bekas pengerusi parti, Dr Mahathir kerana plaintif adalah penasihat undang-undangnya.
Mohamed Haniff yang ditemui selepas prosiding berkata berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini ke Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat – BERNAMA