KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan sebanyak 1,684 ketidakpatuhan Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) oleh syarikat pemberi perkhidmatan komunikasi.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata ketidakpatuhan itu dikesan melalui audit kualiti berkala yang dijalankan dari Januari hingga Julai lepas.
“Ketidakpatuhan itu melibatkan 815 lokasi yang dikesan hasil daripada 2,781 ujian kualiti dilakukan MCMC di seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menyatakan pemberi perkhidmatan telah berjaya membuat penambahbaikan kepada 462 ketidakpatuhan sehingga patuh terhadap standard mandatori.
“Baki 1,222 ketidakpatuhan masih dalam proses penilaian untuk pengeluaran Arahan Suruhanjaya kerana melibatkan naik taraf menara sedia ada atau pembinaan menara baharu yang mengambil masa lebih lama,” jelasnya.
Berdasarkan hasil audit pada 2024 pula, sebanyak 268 Arahan Suruhanjaya melibatkan 219 lokasi telah dikeluarkan di bawah subseksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kepada pemberi perkhidmatan.
Teo menekankan pemberi perkhidmatan terlibat diwajibkan untuk melaksanakan penambahbaikan kualiti perkhidmatan di kawasan terlibat berdasarkan Arahan Suruhanjaya yang telah dikeluarkan.
“Ketidakpatuhan Arahan Suruhanjaya tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi 1 juta ringgit atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 53 Akta 588,” tegasnya.
Beliau menambah kegagalan mematuhi arahan tersebut juga boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 500,000 ringgit selaras dengan subseksyen 105(5) Akta 588.
MCMC akan menjalankan pemeriksaan susulan bagi memastikan pematuhan dan penambahbaikan dilaksanakan oleh pemberi perkhidmatan.
Mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan kepada penyedia perkhidmatan, Teo menyenaraikan beberapa kriteria penting yang perlu dipatuhi.
“Antara KPI ditetapkan ialah purata kelajuan muat turun tidak kurang daripada 10 Mbps,” jelasnya.
Beliau menambah kadar kehilangan paket pula tidak boleh melebihi 0.5%, manakala tahap aksesibiliti perkhidmatan tidak kurang daripada 90%.
“Purata tempoh akses penyiaran penstriman video hingga video mula dimainkan adalah tidak melebihi enam saat,” katanya. – Bernama