MAPIM garis tujuh tekad Malaysia perjuang kebebasan Palestin

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggariskan tujuh tekad utama bagi memastikan Malaysia kekal sebagai suara teguh dunia dalam memperjuangkan kebebasan Palestin, khususnya berhubung serangan berterusan ke atas Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata Malaysia perlu terus lantang mengecam jenayah kemanusiaan termasuk pembunuhan kanak-kanak, wanita dan orang awam, serangan ke atas hospital serta sekolah, selain menuntut perlindungan penuh terhadap institusi kemanusiaan di wilayah berkenaan.

“Malaysia tidak boleh berdiam diri selagi jenayah ini berterusan,” katanya ketika menyampaikan “Deklarasi Sumud Dataran Merdeka Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza” sempena Karnival Sumud Nusantara 2025 di Dataran Merdeka.

Beliau menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus teguh dan berani mempertahankan Gaza dan Palestin sehingga mencapai kemerdekaan.

Ahmad Sani menegaskan Malaysia tidak akan menormalisasikan hubungan atau berkompromi dengan rejim Zionis, serta menolak sebarang usaha yang menghalalkan jenayah penjajahan.

“Kami mendesak supaya perang dihentikan segera dan akses koridor kemanusiaan dunia dibuka tanpa syarat,” katanya.

Beliau juga menuntut gencatan senjata kekal serta menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin.

Ahmad Sani berkata kebuluran yang digunakan sebagai senjata terhadap Gaza mesti segera dihentikan dan berharap supaya rakyat Malaysia serta negara-negara Nusantara terus menyalurkan bantuan.

“Meskipun berdepan pelbagai cabaran, bantuan daripada tangan dan hati rakyat Malaysia tidak akan terputus,” katanya.

Malaysia turut mengutuk keras pembunuhan 283 wartawan di Gaza yang disifatkan sebagai jenayah terhadap kebebasan media.

Ahmad Sani mengingatkan media di negara ini supaya teguh menyebarkan kebenaran serta membela Palestin melalui ilmu, kefahaman dan kesatuan hati.

“Malaysia mesti menjadi titik penting pembelaan Gaza dan sumber fakta dunia,” katanya.

Beliau menekankan rakyat Malaysia akan terus bersatu merentasi agama, bangsa, aliran politik dan pelbagai perbezaan dalam menyokong Palestin.

“Dengan doa dan Qunut Nazilah sebagai senjata, kita akan berdiri bersama Gaza sehingga Palestin mencapai kemerdekaan sebenar,” katanya.

Deklarasi Sumud Nusantara menegaskan komitmen Malaysia untuk terus teguh dan tidak goyah sehingga Gaza mencapai kemerdekaan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *