KUALA TERENGGANU: Penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 di Gong Badak, Kuala Nerus berjaya menjana pendapatan sekitar RM50 juta kepada peniaga kecil dan usahawan di negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ariffin Deraman berkata penganjuran program tersebut pada tahun ini, mencatat kehadiran pengunjung paling tinggi iaitu lebih 100,000 dalam tempoh empat hari.
Beliau berkata sepanjang berada di negeri itu, peserta berbelanja untuk tempahan penginapan seperti hotel dan inap desa, makan minum serta beli-belah.
“Kita anggarkan setiap orang berbelanja sekitar RM500 seorang dalam tempoh empat hari iaitu sehari sebelum iaitu pada Khamis, dua hari program pada Jumaat dan Sabtu, serta sehari selepas penganjuran iaitu hari ini.
“Peniaga di tempat tumpuan seperti Pasar Kedai Payang, pengusaha kedai makan dan peniaga kecil lain mendapat banyak manfaat daripada program ini.
Malah hotel dan inap desa seluruh negeri juga penuh kerana peserta yang datang dari seluruh negara,” katanya selepas merasmikan Program Dana Usahawan Terengganu (DUTE) dan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal, di sini hari ini.
Sementara itu Ariffin berkata kerajaan negeri, menyediakan peruntukan sebanyak RM800,000 bagi program Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal.
Beliau berkata sebanyak 160 peniaga daripada kalangan belia, akan mendapat manfaat daripada program tersebut yang pertama kali diperkenalkan tahun ini.
“Golongan sasaran skim ini merangkumi pekerja sektor gig seperti penghantar makanan, kurier, dan mereka yang terlibat dalam perkhidmatan e-dagang, selain individu yang baru memulakan perniagaan kecil dan memerlukan motosikal sebagai modal utama.
“Permohonan boleh dibuat di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Setiap pemohon akan mendapat pinjaman sebanyak RM5,000 tanpa faedah,” katanya. – Bernama