KUCHING: Seorang pesara mengalami kerugian melebihi 2.5 juta ringgit selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian di Miri.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata (gambar) menyatakan mangsa berusia enam puluhan itu membuat laporan polis setelah menyedari tiada pulangan diterima daripada pelaburan tersebut.
“Mangsa melayari laman Facebook pada pertengahan April lalu dan tertarik dengan iklan pelaburan dalam talian yang dipromosikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudian memuat turun aplikasi bernama ‘Stefelai’ dan mula membuat pelaburan melalui platform tersebut.
“Mangsa yang terperdaya dengan tawaran suspek kemudiannya terus membuat transaksi secara berperingkat berjumlah lebih RM2.5 juta sebelum menyedari dirinya ditipu,” tambah Mancha.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran pelaburan dalam talian yang tidak disahkan pihak berkuasa.
Mancha menyarankan orang ramai membuat semakan latar belakang platform atau individu yang menawarkan skim pelaburan.
“Disarankan untuk membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di www.bnm.gov.my atau BNM TELELINK 1-300-88-5465 (Bank Negara Malaysia), serta www.sc.com.my atau 03-6204 8999 (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia),” katanya. – Bernama