85 kes kehadiran penguat kuasa asing di perairan negara sejak 2021

BANDAR BAHARU: Sebanyak 85 kes kehadiran penguat kuasa asing di perairan negara telah direkodkan bagi tempoh antara 2021 hingga Julai tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa agensi penguatkuasaan dari negara jiran turut memasuki kawasan perairan Malaysia.

“APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) uruskan dengan minta mereka tidak berada dalam perairan kita,” katanya ketika ditemui pada Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri.

Beliau turut mendedahkan sebanyak lima kes rompakan bersenjata serta 274 kes berkaitan penyeludupan pendatang asing tanpa izin turut direkodkan bagi tempoh sama.

Hasil usaha operasi yang berterusan serta keberadaan aset laut dan udara di perairan negara berjaya mengawal elemen ancaman keselamatan terhadap negara.

Kementerian Dalam Negeri kini berada pada peringkat akhir persiapan untuk mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN di Melaka pada 8 hingga 12 September ini.

Sebagai tuan rumah, pihaknya akan mengambil peluang untuk mengetengahkan isu keselamatan dengan menghasilkan beberapa langkah komitmen serantau.

“Tumpuan kepada tiga perkara, pertama dari segi pembinaan kapasiti, kedua perisikan dan ketiga operasi bersama,” jelas Saifuddin.

Beliau menekankan bahawa ini adalah prasyarat kepada kejayaan untuk menangani jenayah rentas sempadan pada peringkat Malaysia dan ASEAN. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *