SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sistem perolehan, khususnya dalam sektor pertahanan negara perlu dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan bebas daripada sebarang amalan rasuah atau komisen yang boleh membebankan negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebelum ini, perolehan aset ketenteraan sering menjadi ruang kepada syarikat dan ejen untuk mengaut keuntungan berlebihan sehingga merugikan negara dan melemahkan kekuatan pertahanan.
Beliau berkata sebagai negara yang mencatatkan pembangunan dan pertumbuhan membanggakan, sistem perolehan ketenteraan masih menunjukkan kelemahan walaupun kerajaan menyediakan perbelanjaan yang tinggi seperti dalam kes kapal tempur pesisir (LCS).
“Perolehan kadang-kadang menjadi pusat ataupun ruang untuk orang memunggah kekayaan melalui rasuah atau komisen yang harus kita hentikan. Ini bukan sesuatu yang aneh, (Menteri Pertahanan) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tahu, umpamanya dalam soal tentera laut.
“Saya cukup tersinggung ketika LIMA (Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi) 2023 di Langkawi, Malaysia tidak mempunyai LCS baharu yang boleh dipamerkan meskipun perbelanjaan pertahanan tinggi,” kata beliau ketika berucap merasmikan fasiliti kilang pembuatan kenderaan perisai milik Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef) di Sendayan, hari ini.
Perdana Menteri berkata ketiadaan kapal baharu dan canggih pada LIMA 2023 memaksa Malaysia mempamerkan kapal lama keluaran 1976, namun beliau tetap berbangga dengan semangat, pengorbanan dan disiplin anak kapal yang mengendalikannya.
Selain itu, Anwar turut menyatakan kekecewaan terhadap kes kecurangan membabitkan agensi pertahanan berikutan penahanan pegawai Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di selatan tanah air baru-baru ini.
“Walaupun masih terkawal, Menteri (Mohamed Khaled) dan Panglima Angkatan Tentera (Tan Sri Mohd Nizam Jaafar) beri jaminan, saya terima baik, tetapi negara seperti Malaysia tidak boleh mudah memaafkan badan risikan tentera terlibat dalam usaha penyeludupan dan pengkhianatan.
“Saya tidak boleh bayangkan orang yang dilatih bekerja dengan penuh semangat, kegigihan dan pengorbanan pertahankan negara boleh melakukan kecurangan seperti ini. Bukan bermakna orang lain boleh, tetapi sepatutnya badan pertahanan kita itu patut ke depan, menjadi contoh yang baik, yang boleh dibanggakan. Ini hal-hal yang harus kita hentikan,” kata beliau.
Anwar turut mengarahkan semua agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya tidak memandang ringan sebarang bentuk kecurangan, serta menjalankan siasatan menyeluruh sebagai pengajaran kepada generasi akan datang.
Beliau yakin rundingan perolehan secara terus antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) lebih berkesan berbanding melalui ejen, kerana mampu menurunkan kos serta meletakkan syarat tambahan seperti pemindahan teknologi dan penglibatan dalam bidang penyelidikan.
Pada 13 Ogos lepas, SPRM menahan 10 individu termasuk tiga pegawai dan dua bekas pegawai kanan tentera dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan di selatan tanah air – BERNAMA